Saturday 20 July 2013

Karnival Kerjaya Pemuda BN 2013 Sediakan Peluang Pekerjaan @Khairykj @NazirHussin79 #1Malaysia


SHAH ALAM - Karnival Kerjaya Pemuda BN (BNYJF) yang berjaya mendapatkan peluang pekerjaan kepada 160,000 pencari kerja hasil penganjuran karnival itu selama dua tahun pada 2011 dan 2012, akan diteruskan lagi.

Selain menawarkan 30,000 peluang pekerjaan oleh 300 syarikat termasuk 120 perniagaan dalam talian, karnival ini memberi kelainan dengan membawa Klinik Usahawan Industri 1Malaysia (KUW1M) untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda.

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, pertama kalinya program itu diadakan sebagai pengisian kepada Karnival Kerjaya dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda supaya menjadi lebih positif dan berdaya saing.

"Selain menyediakan peluang pekerjaan, BNYJF juga memberi peluang kepada pelbagai lapisan umur dan masyarakat menambah ilmu serta mempelajari teknik usahawan berjaya yang dibawa oleh Dr Azizan Osman.

"Ini merupakan sumbangan Pemuda BN untuk menggalakkan orang muda mencari kerja atau mengintai peluang menjadi usahawan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Karnival tersebut akan diadakan pada 27 hingga 29 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Nazir berkata, Pemuda BN juga akan melancarkan aplikasi mudah alih untuk pengguna iTunes, Android dan Blackberry dan media sosial Facebook, ‘BN YOUTH JOB FAIR App Mobile’, yang akan memberi manfaat kepada 'Generasi X dan Y'.

"Mereka boleh menyemak terlebih dahulu kekosongan jawatan yang diminati menerusi kemudahan terbaharu yang disediakan pada penganjuran karnival kali ini. Ia sebagai memudahkan pencari pekerjaan untuk hadir pada hari tersebut apabila maklumat-maklumat diperoleh lebih awal," katanya.

Beliau yang Exco Pemuda Umno berkata, BNYJF turut diiktiraf oleh Malaysia Book Of Record sebagai Karnival Kerjaya Terbesar (lebih 2,000 majikan) dan Pengunjung Teramai (Lebih Sejuta Pengunjung).

"Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengiktiraf BNYJF sebagai 'jenama BN'.

“Kita ada juga peluang dalam sektor kerajaan, biasanya kita akan bukan sahaja jemput Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), contohnya kita ada juga untuk jawatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jawatan polis,” katanya.


-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment