Thursday 16 January 2014

@drasyrafwajdi Umum Perlantikan Dr Yusri Mohamad, Timbalan Timbalan Yang Dipertua YADIM @NajibRazak

KENYATAAN MEDIA
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur
Tel: 03-22746077 Faks: 03-22732330 www.yadim.com.my

Dr. Yusri Mohamad dilantik sebagai
Timbalan Yang Dipertua YADIM


KUALA LUMPUR 15 Januari 2014 – Dr. Yusri Mohamad dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua YADIM oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak berkuatkuasa pada 15 Januari 2014 untuk tempoh dua tahun.

Perlantikan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri itu adalah berdasarkan peruntukan klausa 8(c) Perlembagaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pindaan 1985.

Dr. Yusri yang dilahirkan pada 15 Januari 1972 di Kota Bharu, Kelantan merupakan Presiden Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI), sebuah pusat kajian dan pemikiran yang ditubuhkan oleh beliau bersama beberapa rakan.

Beliau menerima pendidikan awal di Kota Bharu, Kelantan sebelum menyambung pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1985 hingga 1989.

Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan lulus cemerlang di dalam bidang undang-undang (LL.B) pada tahun 1995 dan undang-undang (Shari’ah) (LL.B(S) ) pada tahun 1996.

Dr. Yusri kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang (LL.M) (pengkhususan Undang-Undang Islam) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom dalam tahun 1997.

Beliau kemudiannya telah menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang teori perundangan Islam di UIAM pada tahun 2010.


Di antara bidang pengkhususan akademik beliau ialah Teori Perundangan Islam, Undang-Undang Perlembagaan Malaysia, Undang-undang Perlembagaan Islam dan Undang-undang Kewangan Islam.

Beliau yang pernah bertugas sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), UIAM selama 15 tahun sehingga akhir 2011, juga dilantik sebagai perunding penasihat Shari’ah dan motivasi kepimpinan dalam pelbagai kapasiti dari semasa ke semasa.

Sebagai pelajar, beliau pernah dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.  Beliau juga adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1995 hingga 1997 dan  Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia keenam dari 2005 hingga 2009.

Antara jawatan lain yang pernah disandang termasuk anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Ahli Exco Majlis Belia Malaysia (MBM),  Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pengerusi Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN) .

Beliau juga sering dijemput sebagai pembentang, penceramah dan panelis dalam pelbagai seminar dan forum dipelbagai peringkat termasuk beberapa program TV dan Radio. 


DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Dikeluarkan oleh
Unit Perhubungan Awam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

03-2274 6077/6089

No comments:

Post a Comment