Monday 21 January 2013

Sempena Maulidul Rasul


PAS dipelawa sertai semula BN #tolakPakatan


DALAM perkembangan terkini, PAS yang sebelum ini dicabar supaya keluar daripada pakatan pembangkang, dipelawa menyertai semula Barisan Nasional (BN) demi faedah umat Islam.
UMNO Bahagian Cheras yang membuat pelawaan tersebut menegaskan bahawa sudah sampai masanya PAS meninggalkan isu remeh-temeh sebaliknya memberi tumpuan kearah penyatuan dan perpaduan umat Islam yang hari ini semakin retak.

Ketuanya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee yang membuat pelawaan tersebut menjelaskan, perjuangan PAS bersama DAP dan PKR tidak memberi manfaat kepada perjuangan parti itu untuk mengangkat martabat umat Islam.

"Hanya bersama UMNO, PAS lebih berkemampuan untuk menegakkan perjuangan Islam, selagi bersekongkol dengan DAP dan PKR, selagi itulah PAS tidak berkemampuan malah dicemuh oleh orang Melayu," tegasnya.

Beliau berkata, orang Melayu khususnya umat Islam tidak mendapat sebarang keuntungan atau pun faedah hasil kerjasama PAS dengan DAP serta PKR sebaliknya hanya berpecah-belah kerana fahaman politik.

"Saya hulur tangan (salam) dengan ikhlas kepada pemimpin PAS seperti Haji Hadi dan Nik Aziz, marilah kita bersatu atas nama kepentingan Islam," tegasnya sambil berharap pemimpin PAS akan berfikiran lebih terbuka dalam hal ini.

Beliau menegaskan, umat Islam di negara ini semakin tercabar dan dicabar disetiap peringkat kehidupan dan memerlukan barisan pemimpin yang bertanggungjawab untuk menanganinya secara berhemah.

Beliau tidak menolak pemimpin tertinggi UMNO juga bersedia untuk membina semula jambatan perpaduan dengan PAS demi kepentingan umat.

"Ini soal masa depan umat Islam, soal agama, saya percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak juga sentiasa terbuka dalam hal ini," ujarnya.

Sebaliknya kata beliau, PAS dilihat menjadi mangsa percaturan politik DAP dan PKR sehingga tindak-tanduknya banyak melukai hati umat Islam yang sekaligus mencemar reputasi parti itu.

"Bersenpena sambutan Maulidul Rasul beberapa hari lagi, secara ikhlasnya saya menyeru PAS menyertai semula BN atau UMNO, demi masa depan dan kepentingan umat Islam di negara ini," katanya.

"Saya berharap PAS boleh bersatu dengan UMNO, lupakan rasa curiga dan syak wasangka, yang penting seluruh umat Islam terus bangkit dengan semangat perjuangan Islam sejati.

Syed Ali berkata, jika PAS boleh dan sanggup menyertai pakatan pembangkang maka langkah seperti itu juga boleh diambil untuk kembali semula ke pangkuan BN.

Pada era pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri, PAS yang pada waktu itu diketuai oleh Allahyarham Datuk Mohd. Asri Haji Muda mengambil langkah bijak menyertai BN selepas tragedi 13 Mei 1969.

Tambah Syed Ali lagi, perkembangan politik masa kini termasuk ancaman politiik global memerlukan seluruh umat Islam  bersatu bagi menghadapi pelbagai kemungkinan yang sukar untuk dijangkakan.

Beliau menyebut contoh bagaimana isu penggunaan kalimah 'Allah' sebagai contoh betapa bukan Islam termasuk sekutu PAS, DAP dalam pakatan pembangkang sudah berani untuk mencabarnya.

"Hari ini mereka mahu kalimah Allah dipakai dalam Bible, mungkin esok mereka desak Islam sebagai agama rasmi dihapuskan dalam Perlembangaan Persekutuan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment